Dr Maslee Malik,
pensyarah Universiti Islam Antarabangsa, adalah pakar dalam bidang
politik moen dunia Islam. Beliau memperolehi ijazah sarjana muda di
Jordan, ijazah sarjana dari Universiti Malaya dan doktor falsafah PhD
dari University Durham, UK. Wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin dan Iza
Suraiya telah menemu bual tentang Islam, Melayu dan DAP.
Apa pandangan Dr mengenai DAP dalam suasana sekarang?
Mana-mana parti pun mengalami evolusi, contohnya PAS hari ini tidak
sama dengan PAS pada 90-an, dan PAS 90-an pula tak sama dengan PAS
sebelum tahun 1979 iaitu sebelum kepimpinan ulama. Dan sebelum
kepimpinan ulama pun zaman Dato’ Asri Muda tak sama dengan zaman
Dr.Burhanuddin al-Helmy. Dalam UMNO pun begitu juga, begitu juga dengan
PKR sebelum Anwar dibebaskan dengan selepas dibebaskan. Seluruh dunia,
mana-mana parti akan mengalami perubahan.
Pada pendapat saya, DAP selepas 2008 nampak banyak perubahan drastik.
Cuma bagi orang luar, pertama kita terpaksa berlawan dengan prejudis.
keduanya ialah propaganda oleh BN, ketiganya dengan tingkah laku
pimpinan-pimpinan DAP yang tidak mewakili parti dalam tindakan mereka.
Orang Melayu contohnya, prejudis lebih mudah… tak payah kaji, tak payah
pening kepala dan sebagainya.
Adakah perjuangan DAP yang berideologi demokrasi sosial yang
meliputi keadilan sejagat boleh dianggap sebagai sebahagian dari konsep
perjuangan Islam itu sendiri?
Mungkin kita tidak kata begitu tetapi ada di antara perjuangan
tersebut yang tidak bersalahan dengan Islam sebab hukum asal penglibatan
politik dalam Islam adalah bersifat ‘harus’. Halal, kecuali perbuatan
itu (berpolitik) bertentangan dengan syariat…. Saya melihat, perjuangan
DAP tidak bersalahan dengan Islam tetapi mengatakan segala-galanya
(dalam DAP) adalah Islam, itu tidak lagilah, perlu perbincangan lanjut.
Contohnya kalau pun saya mengatakan bahawa agama saya lebih benar
dari agama A atau B, tetapi itu bukan bermaksud saya kena
mendiskriminasi A atau B. Atau perlu bermusuhan atau boleh menzalimi
mereka. Itu konsep umum dalam muamalat iaitu keadilan, amanah dan ehsan.
Bagaimana dengan prejudis yang mengatakan menyertai DAP itu
tidak sesuai dengan Islam kerana menjadikan orang bukan Islam sebagai
pemimpin?
Perkara ini perlu kita faham. Dalam persoalan ini, adakah pemimpin
itu pimpinan tertinggi? Atau pimpinan agama? Atau pimpinan sebagai wakil
untuk perjuangkan hak-hak bersama? Kalau memilih pemimpin untuk
perjuangkan hak bersama, tidak ada salahnya. Melainkan memilih pemimpin
bukan Islm sebagai pemimpin agama dan pemimpin ‘tertinggi’. Di Malaysia
pemimpin tertinggi kita ialah Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini isu
sentimen yang perlu ditngani.
Walaubagaimanapun, masih ramai kalangan ulama yang tidak membezakan
apa itu wakil untuk perjuangkan hak bersama, pemimpin tertinggi dan
pemimpin agama. Untuk melantik pemimpin yang bukan Islam, pertama dia
tidak boleh memusuhi Islam, keduanya perjuangannya tidak bertentangan
dengan syariah. Semasa kerajaan Islam Andalusia, ada sahaja menteri dan
wakil-wakil yang dilantik di kalangan bukan Islam.
Apakah Dr merasakan perjuangan DAP yang berlandaskan demokrasi sosial sesuai untuk semua rakyat Malaysia?
Begini, di dalam melihat kepada ideologi perjuangan (DAP), jika kita
ikut kaedah konvensional ‘Islamis’, isme-isme ini tidak diterima.
Tetapi, Islamis generasi baru atau demokrat Islamis seperi Ganushi dan
sebagainya, dia kena lihat mengikut kes.
Maksudnya, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Contohnya
dalam ideologi demokrasi sosial, saya mungkin tidak bersetuju dengan
konsep sosialis, tetapi kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dan
sebagai demokrat kita juga memperjuangkan hak setiap pihak untuk
menyuarakan idea mereka. Yang kita tidak mahu adalah paksaan terhadap
ideologi.
Sama ada sesuai atau tidak ia ditentukan oleh kecenderungan individu,
hatta kalau kita lihat dalam sebuah negara komunis pun ramai saja yang
rasa ideologi komunis tidak sesuai. Di Amerika pun ramai juga geng-geng
komunis. Dalam kerangka politik demokrasi bukan bermaksud sesuai untuk
semua tetapi setiap pihak berhak untuk bersuara dan mengemukakan idea
mereka dan bagi demokrat, kita memperjuangkan hak setiap orang untuk
diberikan hak mereka untuk bebas menyuarakan idea. Begitu juga pihak
yang menyuarakan idea perlu bersedia untuk menerima kritikan, bangkangan
atau pun penolakan terhadap apa yang mereka bawa.
Adakah Dr merasakan kemasukan kalangan Melayu ke dalam DAP
bukan sesuatu yang bersifat sementara dan ianya satu perkembangan yang
baik?
Saya rasa, kemasukan orang Melayu satu hal tetapi kita perlukan kepimpinan yang berkarisma
. Mungkin
ada tapi belum nampak. Perlu ada kepimpinan yang berkarisma dari
kalangan orang Melayu yang dilihat mewakili Melayu Islam.
Saya yakin kalaulah kata pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC)
DAP itu berasaskan meritokrasi, kita punya ramai orang Melayu yang
mempunyai merit tapi orang Melayu tak perlu takut bersainglah. Banyak
saja orang Melayu yang berjaya di luar dan di dalam negara. Mengapa
tidak dalam DAP yang lebih kecil?