1 June 2012
Apa pandangan Dr mengenai DAP dalam suasana sekarang?
Mana-mana parti pun mengalami evolusi, contohnya PAS hari ini tidak sama dengan PAS pada 90-an, dan PAS 90-an pula tak sama dengan PAS sebelum tahun 1979 iaitu sebelum kepimpinan ulama. Dan sebelum kepimpinan ulama pun zaman Dato’ Asri Muda tak sama dengan zaman Dr.Burhanuddin al-Helmy. Dalam UMNO pun begitu juga, begitu juga dengan PKR sebelum Anwar dibebaskan dengan selepas dibebaskan. Seluruh dunia, mana-mana parti akan mengalami perubahan.
Pada pendapat saya, DAP selepas 2008 nampak banyak perubahan drastik. Cuma bagi orang luar, pertama kita terpaksa berlawan dengan prejudis. keduanya ialah propaganda oleh BN, ketiganya dengan tingkah laku pimpinan-pimpinan DAP yang tidak mewakili parti dalam tindakan mereka. Orang Melayu contohnya, prejudis lebih mudah… tak payah kaji, tak payah pening kepala dan sebagainya.
Adakah perjuangan DAP yang berideologi demokrasi sosial yang meliputi keadilan sejagat boleh dianggap sebagai sebahagian dari konsep perjuangan Islam itu sendiri?
Mungkin kita tidak kata begitu tetapi ada di antara perjuangan tersebut yang tidak bersalahan dengan Islam sebab hukum asal penglibatan politik dalam Islam adalah bersifat ‘harus’. Halal, kecuali perbuatan itu (berpolitik) bertentangan dengan syariat…. Saya melihat, perjuangan DAP tidak bersalahan dengan Islam tetapi mengatakan segala-galanya (dalam DAP) adalah Islam, itu tidak lagilah, perlu perbincangan lanjut.
Contohnya kalau pun saya mengatakan bahawa agama saya lebih benar dari agama A atau B, tetapi itu bukan bermaksud saya kena mendiskriminasi A atau B. Atau perlu bermusuhan atau boleh menzalimi mereka. Itu konsep umum dalam muamalat iaitu keadilan, amanah dan ehsan.
Bagaimana dengan prejudis yang mengatakan menyertai DAP itu tidak sesuai dengan Islam kerana menjadikan orang bukan Islam sebagai pemimpin?
Perkara ini perlu kita faham. Dalam persoalan ini, adakah pemimpin itu pimpinan tertinggi? Atau pimpinan agama? Atau pimpinan sebagai wakil untuk perjuangkan hak-hak bersama? Kalau memilih pemimpin untuk perjuangkan hak bersama, tidak ada salahnya. Melainkan memilih pemimpin bukan Islm sebagai pemimpin agama dan pemimpin ‘tertinggi’. Di Malaysia pemimpin tertinggi kita ialah Yang di-Pertuan Agong. Perkara ini isu sentimen yang perlu ditngani.
Walaubagaimanapun, masih ramai kalangan ulama yang tidak membezakan apa itu wakil untuk perjuangkan hak bersama, pemimpin tertinggi dan pemimpin agama. Untuk melantik pemimpin yang bukan Islam, pertama dia tidak boleh memusuhi Islam, keduanya perjuangannya tidak bertentangan dengan syariah. Semasa kerajaan Islam Andalusia, ada sahaja menteri dan wakil-wakil yang dilantik di kalangan bukan Islam.
Apakah Dr merasakan perjuangan DAP yang berlandaskan demokrasi sosial sesuai untuk semua rakyat Malaysia?
Begini, di dalam melihat kepada ideologi perjuangan (DAP), jika kita ikut kaedah konvensional ‘Islamis’, isme-isme ini tidak diterima. Tetapi, Islamis generasi baru atau demokrat Islamis seperi Ganushi dan sebagainya, dia kena lihat mengikut kes.
Maksudnya, kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju. Contohnya dalam ideologi demokrasi sosial, saya mungkin tidak bersetuju dengan konsep sosialis, tetapi kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju dan sebagai demokrat kita juga memperjuangkan hak setiap pihak untuk menyuarakan idea mereka. Yang kita tidak mahu adalah paksaan terhadap ideologi.
Sama ada sesuai atau tidak ia ditentukan oleh kecenderungan individu, hatta kalau kita lihat dalam sebuah negara komunis pun ramai saja yang rasa ideologi komunis tidak sesuai. Di Amerika pun ramai juga geng-geng komunis. Dalam kerangka politik demokrasi bukan bermaksud sesuai untuk semua tetapi setiap pihak berhak untuk bersuara dan mengemukakan idea mereka dan bagi demokrat, kita memperjuangkan hak setiap orang untuk diberikan hak mereka untuk bebas menyuarakan idea. Begitu juga pihak yang menyuarakan idea perlu bersedia untuk menerima kritikan, bangkangan atau pun penolakan terhadap apa yang mereka bawa.
Adakah Dr merasakan kemasukan kalangan Melayu ke dalam DAP bukan sesuatu yang bersifat sementara dan ianya satu perkembangan yang baik?
Saya rasa, kemasukan orang Melayu satu hal tetapi kita perlukan kepimpinan yang berkarisma. Mungkin ada tapi belum nampak. Perlu ada kepimpinan yang berkarisma dari kalangan orang Melayu yang dilihat mewakili Melayu Islam.
Saya yakin kalaulah kata pemilihan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP itu berasaskan meritokrasi, kita punya ramai orang Melayu yang mempunyai merit tapi orang Melayu tak perlu takut bersainglah. Banyak saja orang Melayu yang berjaya di luar dan di dalam negara. Mengapa tidak dalam DAP yang lebih kecil?
