Thursday, September 20, 2012

Murabbi Yang Sentiasa Belajar

Murobbi-Mutarabbi LOTR


" Ketika kita diberi nikmat oleh Allah swt untuk menjadi ‘murabbi’, hendaklah kita memahami bahwa ‘mad’u’ (binaan) kita hanyalah sebuah pemberian dan bukan kepunyaan kita. Di saat ‘halaqah / usrah’ berjalan, bukan hanya ‘mad’u’ (binaan) kita yang ditarbiyah, tetapi diri kita sebagai ‘murabbi’ juga melalui proses untuk lebih bersabar, bijaksana dan berfikiran lebih terbuka dalam membina. Sudah semestinya kita perlu menempatkan cinta dan perhatian kita kepada ‘mad’u’ (binaan) secara seimbang kerana cinta memerlukan jarak yang tepat untuk diluahkan.
Ia seumpama mencintai bunga mawar di mana janganlah kita petik dengan alasan ingin melindunginya kerana dengan yang demikian, kitalah yang sesungguhnya menghancurkan mawar tersebut.
Tapi, buatlah pagar di sekelilingnya agar tidak ada haiwan atau orang-orang yang hendak merosakkannya. Kemudian siramilah ia dengan sabar agar ia dapat tumbuh dengan indah dan mampu mengembang dengan baik
.
"


Menjadi ‘murabbi’ merupakan satu nikmat yang tersendiri dalam berdakwah kerana dengan cara itulah, kita telah melengkapkan diri kita dengan kedua-dua sudut tarbiyah yang bersepadu iaitu :

a. Membina.
b. Dibina.

Ia menjadi suatu yang penting kerana :

1. Menjadi murabbi adalah kewajiban (syar’ie dan jamaah).
2. Menjadi murabbi adalah sunnah rasul.
3. Menjadi murabbi adalah wasilah meningkatkan iman.


Walaubagaimanapun, menjadi ‘murabbi’ bukan bererti kita telah sampai di puncak tarbiyah lantas melupakan sifat asas untuk terus belajar.

Ada satu formula yang mungkin dapat menumbuhkan keyakinan diri kepada seorang ‘murabbi’ iaitu :

Keyakinan Diri = Fikiran Positif + Potensi Diri X Tindakan

Mengapa ‘murabbi’ perlu mempunyai fikiran yang positif?

a. Yakin bahwa pekerjaan menjadi murabbi adalah penting.
b. Yakin bahwa fitrah setiap manusia adalah menjadi murabbi.
c. Hindarkan alasan tidak mahu menjadi murabbi kerana sebahagian besar alasan itu adalah fikiran negatif dan dibuat-buat.
d. Yakin bahwa kegagalan menjadi murabbi pada satu ketika boleh menjadi pengajaran menuju kejayaan.

Di dalam diri setiap ‘murabbi’, ada potensi di mana :

1. Fokuskan diri pada kelebihan, bukan pada kekurangan.
2. Perbaikilah kekurangan-kekurangan yang dimiliki dengan cara belajar dan berlatih.
3. Tumbuhkan kesedaran bahwa manusia boleh menjadi lebih baik dari apa yang ia sangkakan.

Akhirnya ‘murabbi’ perlu melakukan tindakan :

a. Segera bertindak dan jangan terlalu banyak membuat pertimbangan.
b. Kurungkan ketakutan dalam diri.
c. Yakinlah bahwa aktiviti membina itu penting.
d. Yakinlah bahwa menunda bertindak bererti memperbesarkan kegagalan.
e. Hasilnya adalah satu keyakinan diri akan tumbuh dalam diri ‘murabbi’.

Maka, oleh yang demikian, ‘murabbi’ yang baik adalah ‘murabbi’ yang memiliki semangat untuk terus belajar sehingga ia terhindar dari sikap kejumudan atau kekakuan dalam berfikir.

Kita juga hendaklah belajar mengenali ‘mutarabbi’ (binaan) kita secara mendalam dan berobjektif.

Selain itu, kita juga perlu :

1. Meletakkan kedudukan mereka sebagaimana semestinya.
2. Mendengar dan mempertimbangkan suaranya.
3. Menghargai keberadaannya.

Walaubagaimanapun, objek tarbiyah dan dakwah ini adalah tetap manusia. Maka sudah sepatutnya kita memanusiakan mereka dan bukan menganggap mereka milik kita yang dapat kita perlakukan apa sahaja tanpa asas yang syari’e.

Sudah menjadi kewajiban kita sebagai ‘murabbi’ untuk mengarahkan mereka kepada perbaikan dan kebaikan kerana memang tujuan tarbiyah adalah memandu dan membawa seseorang untuk menjadi seorang muslim yang soleh dan ‘muslih’.

Seorang yang pakar dalam hal-ehwal tarbiyah telah menyebutkan empat perkara yang menjadi asas kepada tujuan ‘halaqah’ / ‘usrah’ :
1. Tercapainya sepuluh ‘muwasofat tarbiyah’.
2. Tercapainya ‘ukhuwah islamiyah’.
3. Tercapainya produktiviti dakwah.
4. Tercapainya pengembangan potensi ‘mad’u’ (binaan)

Ketika kita telah memahami tujuan ini, kita sudah tentu sedar bahwa semakin jauh keterlibatan ‘mad’u’ kita dalam tarbiyah akan membawanya pada suatu kesedaran untuk lebih produktif dalam berdakwah.

Ini adalah kerana dakwah adalah kewajiban sekaligus hak mereka untuk memenuhi keperluan tarbiyah mereka.

Kita memahami bahwa walau di manapun kita berada samada di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di pejabat, di institusi pemerintahan sama-sama memerlukan sumber manusia sebagai penggerak roda dakwahnya.

Untuk itu, biarkan mereka berkembang dan mempelajari medan dakwah di persekitaran masing-masing dengan terlibat di dalamnya kerana di sinilah letaknya pembelajaran bagi mereka untuk menjadi lebih dewasa dalam menghadapi perubahan iklim dakwah yang berbeza antara satu sama lain.

Biarlah mereka melebarkan sayap dakwah di manapun mereka berada kerana itu adalah baik untuk mereka.

Tugas kita adalah menguatkan mereka dan bukan melemahkan mereka dengan melarang mereka aktif di persekitaran masing-masing walaupun kadang-kadang kita khuatir nantinya mereka tidak fokus dan lemah untuk memegang amanah yang lebih besar bahkan di situlah kita seharusnya mengarahkan mereka agar dapat lebih istiqamah dengan menumbuhkan rasa tanggungjawab terhadap akibat pilihan-pilihan mereka.

Dengan kata lain, biarkan mereka mengambil keputusan sendiri tanpa perlu kita campurtangan.

Namun, bagaimana jika mereka salah dalam mengambil keputusan? Sebenarnya di saat itulah mereka belajar.

Ini seperti kata-kata seorang pujangga :

“Kerana lebih cepat seseorang merasakan kesalahan, lebih cepat pula ia belajar untuk menjadi benar.”

Bayangkan ketika kita menjadi ibu dan bapa, lalu anak kita yang masih kecil sentiasa kita dukung kerana tidak sanggup melihatnya terjatuh ketika belajar berjalan. Jika begitu, maka hasilnya, sampai dewasa pun mereka tidak akan dapat berjalan.

Oleh sebab itu, selama mana dalam persekitaran kebaikan, biarkan sahaja mereka berekspresi seoptimum mungkin.
Syeikh Mustafa Masyhur berkata :

“Murabbi perlu mendidik ‘mad’u’nya (binaannya) agar memahami cara beramal jama’ie atau tabiat amal dalam sebuah jamaah serta tuntutan-tuntutan dan syarat-syarat yang mesti dipenuhi, agar terjamin keselamatan dalam perjalanan dan potensi yang dapat disatukan serta produktiviti yang dapat ditingkatkan.”

Ya, kita perlu menanamkan kefahaman kepada mereka, bukan menyuntikkan fikrah ketaatan yang dibangunkan melalui ‘taklid’ buta atau mengagung-agungkan ‘murabbi’. Jika begitu keadaannya, mereka akan berfikir bahwa ‘murabbi’ adalah segala-galanya dan apa yang dikatakan oleh ‘murabbi’ adalah sesuatu yang mutlak dan tidak boleh disangkal atau diganggu gugat.

Hal ini selaras dengan apa yang disampaikan berkenaan beberapa perkara yang menjadi penyebab kepada kegagalan tarbiyah :

1. Tarbiyah dipandang hanya semata-mata sebagai pemindahan bahan-bahan.
2. Persepsi bahwa ‘murabbi’ adalah segala-galanya bagi ‘mad’u’. Mungkin
‘murabbi’ akan merasa aib jika ‘mad’u’ memiliki kelayakan yang lebih baik daripada ‘murabbi’ dalam beberapa bidang.
3. Tarbiyah dianggap sebagai proses indoktrinasi dan dominasi. ‘Murabbi’ menyerlahkan suatu persepsi bahwa kejayaan tarbiyah adalah ketika ‘mad’u’ memiliki ‘kesetiaan’ dan menjadi pendukung ‘murabbi’.
4. Sistem dan metodologi tarbiyah dipersepsikan sebagai suatu perkara yang tetap dan tidak akan berubah.
5. Kecenderungan untuk melakukan ‘kloning’ ‘murabbi’ sehingga yang menjadi ‘muwasofat’ adalah apakah ‘mad’u’ memiliki hobi, selera atau kecenderungan yang sama dengan ‘murabbi’-nya atau belum.

Sekali lagi, kita hanyalah mengarahkan dan jangan sampai diri kita membina, namun orientasinya agar binaan kita hanya dapat aktif di tempat-tempat tertentu sahaja.
Namun, fikirkanlah bagaimana kita dapat membina sehingga binaan kita akan menjadi lebih produktif berdakwah di manapun mereka berada samada di sekolah, di institusi pengajian tinggi, di sisi keluarga hingga dalam masyarakat yang lebih luas.
Ini adalah kerana kita hendak membangun seorang muslim pendakwah, bukan muslim yang hanya menjadi aktivis dakwah di tempat-tempat tertentu sahaja.
Jangan sampai mereka merasa sukar untuk berdakwah lantaran kita kurang peka dan bersifat subjektif dalam menilai mereka.
Selama mana mereka mampu memberikan sumbangan yang terbaik di jalan dakwah ini, kitalah yang seharusnya berada di garisan hadapan untuk mendukung dan membantu mereka.
Allh swt berfirman :
“Maka disebabkan rahmat dari Allahlah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” (QS Ali Imran : 159)

Firman Allah swt lagi :
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik…” (QS An-Nahl : 125)
Di sudut lain, kita memang memiliki hak untuk ditaati dan diberi kepercayaan (tsiqah) oleh ‘mad’u’ kita kerana, selain sebagai guru dan sahabat, diri kita juga berperanan sebagai pemimpin dan orang tua bagi mereka.
Namun, yang menjadi permasalahan adalah ketika kita kurang tepat dalam menempatkan hak dan kewajiban kita sebagai ‘murabbi’ secara seimbang apalagi memanfaatkan hak ini untuk menyalurkan keegoan peribadi yang tidak ‘syar’ie’.
Ketika kita membangunkan kefahaman dan cara berfikir yang benar kepada ‘mad’u’ kita, insyaAllah, ketaatan dan kepercayaan akan terbangun dengan sendirinya tanpa perlu kita minta dan mereka pun akan mengerti seperti apakah arahan kita yang perlu ditaati dan manakah yang boleh ditegur.
Budaya menegur perlu ditumbuhkan secara timbal balik dalam halaqah / usrah. Bukan hanya ‘murabbi’ yang berani menegur ‘mad’u’, tapi juga ‘mad’u’ berani menegur ‘murabbi’-nya.
Namun, budaya menegur ini perlu dilakukan dalam suasana kasih sayang, kebenaran dan kesabaran.
Seringkali budaya menegur ini padam dalam ‘halaqah / usrah’ kerana sikap ‘murabbi’ yang ‘autoritatif’ dan ‘posesif’ serta merasa dirinya sahajalah yang paling benar dan cepat tersinggung jika ditegur.
Akhirnya, ‘mad’u’ jadi segan dan enggan menegur ‘murabbi’-nya.
Apakah akibatnya?
Akibatnya, ‘mad’u’ akan menjadi orang yang tidak yakin kepada diri sendiri dalam menegur dan menyampaikan pendapatnya.
‘Murabbi’ pula akan menjadi :
a. Tidak sedar akan keadaan dirinya apakah dirinya benar atau salah dalam membina ‘mad’u’-nya.
b. Tidak tahu apakah dirinya merasa peduli atau tidak dengan orang lain.
c. Tidak tahu apakah dirinya berada dalam kebenaran atau tidak.
Selama mana tidak bertentangan dengan syara’, ‘mad’u’ wajib mentaati ‘murabbi’-nya, walaupun bertentangan dengan pendapatnya sendiri.
Namun perlu diingat bahwa ketaatan ‘mad’u’ kepada ‘murabbi’ bukan bererti menutup laluan musyawarah, saranan dan teguran.
Hal itu tetap perlu dilaksanakan agar keputusan kita akan lebih bijaksana.
Dengan wujudnya ketaatan ‘mad’u’ kepada ‘murabbi’, maka ianya akan lebih memudahkan usaha untuk membina, mengarahkan, menasihati dan memobilisasi mereka untuk kepentingan dakwah dan jamaah.





Syeikh Mustafa Masyhur berkata :

“Sangat bermanfaat apabila al akh ‘murabbi’ memberi kesempatan kepada ‘mad’u’ (binaan) untuk bertanya dan meminta penjelasan, meminta agar tiada seorang pun dari mereka menyimpan sesuatu yang mengganggu jiwanya tanpa berusaha meminta penjelasan tentangnya dan memberi kesempatan pada mereka untuk bertanya empat mata bagi yang menghendaki, agar hilang rasa tidak enak”.

Ketika kita diberi nikmat oleh Allah swt untuk menjadi ‘murabbi’, hendaklah kita memahami bahwa ‘mad’u’ (binaan) kita hanyalah sebuah pemberian dan bukan kepunyaan kita. Di saat ‘halaqah / usrah’ berjalan, bukan hanya ‘mad’u’ (binaan) kita yang ditarbiyah, tetapi diri kita sebagai ‘murabbi’ juga melalui proses untuk lebih bersabar, bijaksana dan berfikiran lebih terbuka dalam membina. Sudah semestinya kita perlu menempatkan cinta dan perhatian kita kepada ‘mad’u’ (binaan) secara seimbang kerana cinta memerlukan jarak yang tepat untuk diluahkan. Ia tidak terlalu jauh serta tidak terlalu dekat. Tidak cuai serta tidak juga bersikap ‘autoritatif’. Ia seumpama mencintai bunga mawar di mana janganlah kita petik dengan alasan ingin melindunginya kerana dengan yang demikian, kitalah yang sesungguhnya menghancurkan mawar tersebut.
Tapi, buatlah pagar di sekelilingnya agar tidak ada haiwan atau orang-orang yang hendak merosakkannya. Kemudian siramilah ia dengan sabar agar ia dapat tumbuh dengan indah dan mampu mengembang dengan baik.
 
Akhirnya marilah kita renung kata-kata Imam Hasan Al-Banna 

"Dakwah ini tidak mengenal sikap lemah. Ia hanya mengenal satu sikap iaitu penyerahan sepenuhnya. Siapa yang bersedia untuk itu, maka ia mesti hidup bersama dakwah dan dakwah pun melebur dalam dirinya. Sebaliknya, barangsiapa yang lemah dalam memikul beban ini, ia terhalang dari pahala besar mujahid dan tertinggal bersama orang-orang yang duduk. Lalu Allah swt akan mengganti mereka dengan generasi lain yang lebih baik dan lebih sanggup memikul beban dakwah ini”
Ya Allah, jadikanlah kami sebagai murabbi yang sentiasa belajar untuk membaiki diri dan meningkatkan keperibadian kami di samping membina mad’u yang akan meneruskan tugas-tugas tarbiyah selain hidup bersama dakwah serta dakwah melebur dalam diri kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Dicopy dari blog Ustaz Wan Ahmad Sanadi
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam. 
http://tinta-perjalananku.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment