Tuesday, May 1, 2012

Berguru dengan anak murid

Pada suatu pagi, seorang pemuda belia, bergegas menemui gurunya dalam keadaan pucat.

"Wahai Guru, semalam saya berjaya mengkhatamkan Al-Quran dalam qiamullail saya" kata Pemuda itu.

Sang guru tersenyum.

"Bagus, bagus. Nanti malam tolong hadirkan bayangan diriku di hadapanmu saat kau membaca Al-Quran itu. Rasakanlah seolah-olah aku sedang semak apa yang engkau baca."

Esok harinya, sang murid  datang dan melapor lagi pada gurunya.

"Ya, Ustaz, semalam aku hanya sanggup menyelesaikan separuh dari Al-Quran itu."

Guru itu berkata, "Engkau sungguh telah berbuat baik, Nak"

Sambil menepuk bahu muridnya, guru berkata, "Nanti malam lakukan lagi dan kali ini hadirkanlah wajah para sahabat Nabi yang telah mendengar Al-Quran itu langsung dari Rasulullah. Bayangkanlah bahawa para sahabat Nabi sedang mendengarkan dan memeriksa bacaanmu."

Keesokan harinya, pagi-pagi buta lagi, sang murid sudah menghadap dan mengadu.
"Astaghfirullahaladzhim, Ya Ustaz," keluhnya

"Semalam hanya sepertiga Al-Quran yang dapat saya tilawahkan."

"Alhamdulillah, engkau telah berbuat baik" kata Guru sambil mengusap kepala muridnya.

"Nanti malam bacalah al-Quran dengan lebih baik lagi, sebab yang akan hadir di hadapanmu untuk menyemak adalah Rasulullah SAW sendiri! Orang yang kepadanya Al-Quran diturunkan."

Setelah Solat Subuh, sang guru bertanya,

"Bagaimana solatmu semalam?"

"Aku hanya mampu membaca satu juz, Guru.Itu pun dengan susah payah." kata murid sambil mengeluh.



"Masya Allah, teruskan kebaikan itu, Nak!"
Sambil memeluk anak muridnya, beliau menyambung,

"Dan nanti malam tolong hadirkan Allah 'Azza wa jalla di hadapanmu. Sungguh, selama ini pun sebenarnya Allah-lah yang mendengarkan bacaanmu. Allah yang telah menurunkan al-Quran. Dia selalu hadir dekatmu. Jika engkau tak dapat melihatNya, Dia pasti melihatmu. Ingat baik-baik. Hadirkan Allah, kerana Dia mendengarkan dan menjawab apa yang engkau baca!"

Keesokan harinya, ternyata pemuda itu jatuh sakit. Sang guru pun datang menjenguknya.

"Kenapa denganmu, Nak?" tanya Sang Guru.

Sang murid berlinangan air mata.
Dengan teresak-esak pemuda itu berkata,
"Demi Allah, wahai guru. Semalam saya tak mampu menyelesaikan bacaanku. Walaupun surah al-Fatihah sekalipun, tak mampu saya menghabiskan nya. Ketika sampai pada ayat "Iyyaka na'budu wa iyyaka nasta'iin" lidahku kelu. Saya merasa saya sedang berdusta. Di mulut saya ucapkan "KepadaMu ya Allah, aku menyembah", tapi jauh di dalam hati ini, saya tahu bahawa saya sering memperhatikan yang lain, selain Dia. Ayat itu tidak mahu keluar dari lidah saya! Saya menangis dan tetap tak mampu menyelesaikan bacaan malam itu."

"Nak..," kata sang guru sambil berlinangan air mata,
"Mulai hari ini engkaulah guruku! Dan sungguh aku ini muridmu. Ajarkan kepadaku apa yang telah engkau peroleh. Sebab meskipun aku membimbingmu di jalan ini, aku sendiri belum pernah sampai pada puncak keFAHAMan, yang kau dapat hari ini."

(petikan kitab Futuhat Al-Makkiyah, tulisan Ibnu Al-'Arabi yang dipetik dari buku Dalam Dekapan Ukhuwah, tulisan Salim A. Fillah)
---------------------------------------------------------------------------------------
Saudara-saudara sekalian, belajarlah dari orang lain, walaupun orang itu adalah orang yang lebih rendah dari kita. Mungkin dia lebih muda, atau junior kita di University. Mungkin orang itu, baru sahaja mengenal jalan kebaikan, baru saja mengenal apa itu dakwah , tarbiyah, dan harakah berbanding kita yang kononnya lebih berpengalaman. Malahan, mereka mungkin baru sahaja mengenal Islam yang sebenarnya, baru saja mengerti untuk membezakan mana yang halal dan haram, mana yang Islam mana yang Jahiliah.

Atau bahkan, boleh jadi saja, mereka itu, adalah orang yang mendapat hidayah hasil dari usaha kita menarik mereka. Boleh jadi orang itu, adalah anak didik kita sendiri. Mutarabbi kita, atau anak buah kita.

Tapi percayalah wahai saudara-saudara sekalian, kemuliaan itu bukan terletak pada usia dan seniority.

Kemuliaan dan kebaikan itu tidak diukur pada sudah berapa lama kita berada dalam Jalan ini,
tapi kemuliaan itu diukur atas keTAQWAan, dan keFAHAMan seseorang.


Walaupun orang itu baru mendapat hidayah semalam. Walaupun dia, baru saja kita ajak kepada Islam. tapi boleh jadi dia lebih layak menjadi guru kita, lebih elok menjadi contoh kepada kita, atau lebih sesuai murobbi kepada kita, dan kita lebih layak menjadi murid dan belajar dari mereka. Kerana, mereka  lebih Faham dari kita. Boleh jadi dia lebih giat bekerja dari kita. Mungkin saja, dia lebih banyak menghayati Islam ini berbandung kita. Mungkin imannya lebih dalam dari kita. Mungkin saja. Wallahulam.

Memang, ada benarnya, dari segi usia berbanding mereka, kita mungkin lebih dahulu mendapat ilmu, fikrah, dan pengalaman ini. Tapi percayalah, yang menjadi ukuran hebat itu bukan sudah berapa lama kita tahu atau sudah pernah dapat materi atau paling lama berkecimpung dalam dunia ini. Bukan, sama sekali bukan!
Akan tetapi yang menjadi ukuran kefahaman ialah, seberapa banyak kita telah mengimani, meyakini, menghayati, mengamalkan, memperjuangkan, dan menterjemahkan apa yang kita dapat melalui teori, kedalam kehidupan kita, 24 jam sehari, selama 7 hari seminggu.

Belajarlah dari orang lain untuk berubah ke arah lebih baik! Fastabiqul khairat.
Sekian.


No comments:

Post a Comment